Dikir Barat adalah kesenian tradisional yang popular dalam kalangan
masyarakat Melayu di Kelantan. Dalam persembahan Dikir Barat
terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok
Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti
oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun
dipertandingkan. Pertandingan selalunya
diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan
ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima
perubahan bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut
perkembangan zaman.
Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni
iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu
sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi
Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama
ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir
Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.
Antara alat-alat dikir barat yang digunakan ialah Gendang Ibu dan Gendang Anak, Gong ( Tetawak), Marakas, dan Canang.
Pada hari ini, dikir barat telah melalui tranformasinya tersendiri. Jika berkunjung ke Pasar Malam Wakaf Che Yeh, kita akan mendengar pelbagai irama dikir barat berkemundang daripada deretan gerai CD. Namun, untuk mendengar irama dikir barat asli adalah susah. Ini kerana, muda-mudi zaman sekarang lebih berminat dengan irama dikir moden. Nama-nama tersohor dalam arena kesenian dikir barat di kelantan seperti Halim Yazid, Megat Nordin, Cikgu Sulizi, Daud Bukit Abal, dan ramai lagi.