Adakalanya kita perlu menangis agar kita sedar betapa hidup ini bukan sekadar untuk ketawa dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menilai betapa mahalnya setitis air mata



Saturday, April 28, 2012

Solat Sunat Dhuha

Demi waktu Dhuha dan demi Malam apabila menjadi sepi. Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu dan tidaklah Dia membencimu. Dan Akhirat itu lebih baik daripada dunia ini. Dan pasti Tuhanmu akan memberi kepadamu kurniaan hingga kamu menjadi suka.
(Surah al-Dhuha : 1-5 )


BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.”

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani ).

Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata:
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha.