“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka
terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat
dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”
“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan
sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau
sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka
pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan,
minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup
besar.
Sedekah ini fadilat utamanya ada tiga
iaitu rezeki murah, dapat menolak bala dan panjang umur. Sebabnya,
apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah
sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang
memberikan sumbangan. Ini juga dijelaskan dalam hadis yang bermaksud, “
Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.”
Apabila
kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita
termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan
kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan
bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih
ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan
fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada
mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.